SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan LS10 | Selangor FC 4-0 Kuching City FC | Tiga Mata Seterusnya

Sep 14, 2024 - FAS

Selangor FC berjaya meraih tiga mata tanpa bolos dalam saingan Liga Super 2024/25 selepas menewaskan Kuching City FC dengan keputusan 4-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Penyerang import Selangor FC, Ronnie Fernandez telah menjaringkan gol pembukaan perlawanan #SFCKUC pada minit ke-11 setelah bola yang dihadang pasukan lawan jatuh tepat ke kaki beliau dan lantun terus ke gawang gol. Perlawanan semakin rancak di separuh masa kedua setelah Ali Olwan, pemain baharu import Gergasi Merah, meledak masukan jaringan debut beliau pada minit ke-67 selepas menerima bola daripada penjaring pertama, Ronnie Fernandez. Kemudian, pada minit ke-74 perlawanan, seorang lagi pemain import, Umarbek Eshmurodov, telah menanduk masuk gol pertama beliau untuk musim ini hasil daripada sepakan penjuru yang tepat daripada Yohandry Orozco. Gol terakhir #SFCKUC telah dijaringkan oleh Alvin Fortes dengan kaki kirinya, pada minit ke-80 selepas menerima hantaran daripada Noor Al-Rawabdeh.

Kemenangan dengan keadaan pemain-pemain kebangsaan yang pulang tanpa kecederaan meletakkan kegembiraan buat Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil. 

“Kami gembira dengan tiga mata ini yang juga mengekalkan pasukan di kedudukan kelompok atas liga. Kita melalui perlawanan yang dramatik menentang Kuching City FC dalam saingan Piala FA tempoh hari tetapi kali ini kita hadir dengan motivasi dan mood pasukan yang sangat baik. Kita hanya mempunyai beberapa hari untuk sediakan pasukan kerana tujuh pemain beraksi untuk negara masing-masing tetapi pada saya, paling penting mereka pulang dengan tanpa kecederaan. Situasi ini sangat membantu pasukan.“ jelas Nidzam Jamil.

Daripada perlawanan #SFCKUC dalam saingan Liga Super 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Kemunculan pemain jersi 90, Ali Olwan

Pemain muda skuad utama Jordan akhirnya membuat penampilan rasmi pertama beliau bersama Selangor FC dalam perlawanan #SFCKUC semalam. Kehadiran beliau telah menambah impak bahagian serangan terutama sekali keserasian yang jelas di antara beliau dan Ronnie Fernandez. Biarpun beliau tidak dapat beraksi 90 minit atas faktor beliau baru sahaja pulang daripada kem Jordan, tetapi beliau keluar dengan jaringan sulungnya pada minit ke-67 perlawanan.

Azim Al Amin tenang menjaga gawang

Penjaga gol muda baharu Gergasi Merah musim ini, Azim Al Amin telah beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan debutnya dalam siangan Liga Super dengan keputusan tanpa bolos. Kemahiran dan teknik yang beliau miliki biarpun berusia 23 tahun, membantu beliau beraksi dengan tenang dengan bantuan barisan pertahanan yang juga cemerlang dalam perlawanan #SFCKUC. Untuk pengetahuan, ini merupakan perlawanan kedua beliau bersama Selangor FC. 

Umarbek Eshmurodov dinobatkan sebagai MoTM #SFCKUC

Pemain tonggak pertahanan negara Uzbekistan, pulang ke kem Gergasi Merah daripada panggilan negara dengan motivasi yang tinggi. Buktinya jelas, bukan sahaja persembahan yang cemerlang beliau pamerkan tetapi beliau berjaya membuka akaun jaringannya dengan menanduk masuk hantaran sepakan penjuru Yohandry Orozco. Selain itu, sikap  profesionalnya juga satu yang perlu diberi pujian. 

Setakat ini, Selangor FC telah mengumpul 22 mata daripada tujuh kemenangan, satu seri dan dua kekalahan. 

Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan Selangor FC beraksi di pentas ACL2, menentang kelab dari negara Thailand, Muangthong United FC di Stadium Nasional Rajamangala pada 19 September ini jam 6 petang waktu tempatan.

Selangor FC ingin berterima kasih kepada para penyokong hadir memeriahkan stadium dengan tema Hari Malaysia yang dibuat khas sempena Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September ini. 

Pihak pengurusan Selangor FC bersyukur dengan kemenangan ini biarpun pasukan hanya dapat beberapa hari untuk berlatih dengan jumlah pemain yang cukup. Semoga pasukan terus beraksi dengan cemerlang untuk perlawanan seterusnya di Thailand. 

Demi Kebanggaan!